Penyanyi Ernie Zakri kini tampil dengan lagu terbaharu berjudul Gundah.

Menurut Ernie, lagu tersebut ditujukan khas buat Allahyarham datuk dan neneknya, Mohamed dan Rokayah.

Ia mengisahkan percintaan dua insan yang bercinta sampai ke hujung nyawa dan menggambarkan seorang lelaki (iaitu datuknya) yang menderita disebabkan kematian wanita yang dicintai (neneknya).

Selepas setahun pemergian neneknya, datuk Ernie pula yang meninggal dunia.

Bait-bait lirik “biar rasa ini membunuhku, biar rindu ini menghukumku” adalah lirik yang tepat menggambarkan kesedihan hati lelaki tersebut.

Tambah Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records, Feros, lagu tersebut diharapkan mendapat sokongan pendengar terutama peminat Ernie sendiri.

”Lagu Gundah merupakan karya terbaru hasil nukilan Sharon Paul Dan Ernie sendiri dan saya berharap lagu ini dapat menambat hati ramai orang diluar sana dan juga mendapat tempat di hati para pendengar radio," ujarnya.

Lagu Gundah boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox dan Apple Music.