Ibu arwah Abam, Sabariah Arshad enggan memikirkan mengenai kontroversi yang melanda antara keluarganya dan menantu, Nor Hidayah Mohd. Ali.

Menurut Sabariah, dia kini hanya mahu memikirkan nasibnya sahaja selepas kehilangan anak tersayang.

"Dia nak keluar ke, tak nak keluar ke, saya tak ada cakap apa pun.

"Saya fikir anak saya yang sudah pergi sahaja. Siapa nak tanggung saya makan, saya fikir tu," luahnya.

Sabariah ditemui selepas Majlis Tahlil anjuran Astro Warna yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sebentar tadi.



Jelasnya lagi, baik Hidayah atau dirinya, masing-masing tidak pernah berhubung selepas pemergian Abam.

"Dia tak ada nombor telefon saya, saya pun tak ada nombor telefon dia.

"Saya hanya tahu nombor yang sudah disimpan dalam telefon. Semuanya nombor telefon anak-anak saya," katanya.

Sebelum ini, kisah keluarga Ali menjadi perhatian selepas usahawan Aliff Syukri menyiarkan temu bual bersama balu Abam, Nor Hidayah secara live di Facebook.

Dalam temu bual itu, usahawan tersebut menyentuh isu sensitif berkaitan harta pusaka.

Situasi tersebut kemudian menjadi tegang sehingga mencetuskan perbalahan dua keluarga dan mendapat perhatian netizen.

Abam meninggal dunia pada 10 Februari lalu akibat demam panas.