"Apa yang jadi ketika 8 bulan saya hilang itu biarkan berlalu. Saya takkan bagitahu apa-apa," itu pendirian adik kepada pengacara popular Neelofa, Ameera Khan menjawab tentang kehilangannya sebelum ini.

Jelas Ameera yang popular di laman sosial Instagram sebagai Little Miss Khan, 19, dia enggan mengulas lanjut mengenai desas-desus telah mendirikan rumah tangga selama kehilangannya itu.

"Apa yang saya buat (hilang) sebab saya tak nak orang tahu apa yang saya buat ketika itu jadi saya tak perlulah menjelaskan atau menceritakan balik apa yang saya tak nak orang tahu.

"Saya buat sebab saya tak nak orang terus masuk campur dalam kehidupan peribadi saya," katanya kepada Gempak.

Pendirian Ameera tegas. Usahawan itu memilih untuk mengunci mulut dan membiarkan orang ramai terus membuat spekulasi.

"Tak kisahlah orang nak fikir apa atau menilai saya, saya tetap dengan pendirian ini," tambahnya.

Kehilangan itu membuatkan Ameera kembali dengan lebih bersemangat dan menghargai diri sendiri.

"Sekarang saya jadi lebih semangat, bermotivasi dan saya memahami nilai saya.

"Sebelum ini saya keliru apabila melihat kehidupan orang lain yang lebih bermakna dan rasa saya tak cukup bagus hingga buatkan saya tertekan.

"Kemudian saya berehat dan kembali semula," jelas Ameera.

Tiada apa yang disesalkan, kata Ameera sepanjang tempoh berehat itu dia banyak meluangkan masa bersama keluarga dan pasangan.

"Saya ke gimnasium, bersama keluarga dan pasangan saya. Saya buat apa yang saya mahukan," katanya.

Belajar daripada apa yang berlaku, kata Ameera dia akan lebih berhati-hati dan tidak akan terlalu mendedahkan kehidupannya secara total di media sosial.

"Sebelum ini saya akan berkongsi segala-galanya! Selepas ini anda hanya akan tahu 5 peratus tentang kehidupan saya.

"Saya tak rasa rugi pun sebab itulah yang saya nak," simpul Ameera menutup kata.