Pelakon dan pengarah Dr Norzizi Zulkifli memohon semua pihak mendoakan kesihatan bapanya, seniman Datuk Zulkifli Zain.

Zizi menerusi satu kiriman Whatsapp memberitahu kesihatan bapanya semakin merosot selepas lapan hari dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang.

"Saya memohon semua untuk sama-sama mendoakan kesembuhan dan dipermudahkan urusan buat papa saya, Datuk Zulkifli Zain.
"Kesihatannya sejak tiga hari ini agak tidak stabil dan tindak balasnya agak kurang."Sekiranya, ada yang hendak melawat, dialu-dialukan dan amat dihargai," tulisnya.

Bagaimanapun Norzizi faham sekiranya tidak ramai yang datang melawat kerana kebimbangan masyarakat terhadap penularan wabak COVID-19.

“Kami tak harapkan apa-apa. Kami faham situasi sekarang. Kami cuma ingin memaklumkan kondisi terkini papa, semoga dengan doa dari semua dapat memberi kesembuhan buat papa.

“InshaaAllah. Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.

Terdahulu pelakon yang popular dengan watak Bentayan menerusi drama Tragedi Sri Mersing ini dimasukkan ke hospital UiTM pada 6 Mac lalu kerana sukar membuang air besar.

Pemeriksaan doktor kemudian mendapati ada jangkitan kuman dalam darah dan asid tinggi, manakala buah pinggangnya pula agak kering dan bermasalah.

Sumber: Harian Metro