Tindakan balik kampung atau bercuti dalam negeri untuk tempoh dua minggu ini hanya akan menggagalkan langkah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19, kata pakar.

Menerusi laman sosial Twitter, pakar kawalan penyakit berjangkit, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman meminta agar orang ramai duduk di rumah dan tidak ke mana-mana sepanjang tempoh tersebut.

"Tidak, jawabannya ialah tidak. Kekal di mana anda berada.

"Tujuan utama arahan yang dikeluarkan ini ialah mengehadkan sebarang pergerakan, meminumumkan kontak dalam kalangan orang ramai yang boleh menyebarkan virus," tulisnya menerusi satu kicauan.

Adeeba yang juga dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya berbuat demikian sewaktu menjawab persoalan yang dinyatakan kepada Astro Awani sama ada wajar untuk orang ramai pulang ke kampung semasa tempoh Perintah Larangan Pergerakan berkuat kuasa.

Perintah yang akan dilaksanakan mulai esok sehingga 31 Mac itu turut membabitkan penutupan sekolah serta pusat pengajian tinggi kerajaan dan swasta.

Malah, semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara juga akan ditutup sehingga tarikh yang dimaklumkan.

Tindakan itu menyebabkan pelajar pula tidak perlu ke sekolah manakala ramai yang tidak boleh bekerja.

Sementara itu, seorang bekas pegawai perubatan, Dr Amar Singh HSS, berkata pelaksanaan Perintah Larangan Pergerakan tidak sepatutnya dimanfaatkan sebagai waktu untuk bercuti.

Selain itu, dia turut meminta orang ramai untuk tidak melakukan pembelian panik kerana ia hanya akan meningkatkan risiko untuk mereka dijangkiti Covid-19

"Ini berbahaya. Ia membantu penyebaran koronavirus. Hentikan pembelian panik," katanya melalui Twitter.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 553 jumlah keseluruhan dengan Selangor menunjukkan angka tertinggi sebanyak 144 kes.



Sumber: Malaysiakini