Pengacara Nabil Mahir mengambil masa selama satu bulan untuk merancang kejutan melamar kekasih hatinya, pelakon dan penyanyi Ayda Jebat.

Menurut Nabil, lamaran terbabit merupakan satu kejutan untuk pelantun lagu Better Than You itu dan dilakukan bersempena hari lahir Ayda yang disambut kelmarin.

"Saya dah rancang 'surprise' untuk melamar Ayda selama sebulan. Ayda memang tak tahu dan ia memang adalah satu kejutan.

"Sebelum ini, Ayda sering katakan tak ada sesiapa yang boleh membuat 'surprise' kepadanya kerana sering 'kantoi'... Akhirnya, dia sendiri terkejut dengan lamaran saya," kata Nabil ketika dihubungi Gempak.

Tambah bekas pengacara program HLive! ini, mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengadakan majlis merisik atau bertunang.

"Semenjak kami mula rapat, kami sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing. Selepas saya melamar Ayda, kami memang tidak mempunyai perancangan untuk mengadakan majlis merisik atau bertunang.

"Kalau boleh, saya sendiri mahu terus bernikah dan mengadakan majlis berkahwin tetapi tarikhnya masih belum difikirkan lagi.

"Kalau boleh saya mahu langsungkannya tahun ini juga. Tetapi, semuanya masih belum pasti lagi dan kami akan berbincang dengan keluarga terlebih dahulu," katanya.

BACA: "She Said Yes!" - Tayang Cincin Di Hari Jadi, Ayda Jebat Terima Lamaran Nabil Mahir

Terdahulu, Nabil melamar Ayda selepas mereka menjalin hubungan cinta selama beberapa bulan.