Penyanyi dan pelakon, Izzue Islam mendedahkan detik cemas sewaktu dipanggil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan saringan COVID-19.

Menurut Izzue, dia terkejut apabila mendapat tahu dia dan isteri, Awin Nurin berada di dalam satu penerbangan yang sama dengan tiga orang pesakit yang positif COVID-19 ketika ke Sabah pada awal Mac lalu.

“Saya terkejut apabila pihak KKM menghubungi dan meminta kami untuk melakukan saringan COVID-19 pada 16 Mac lalu.

“Mereka memberitahu sebenarnya saya dan isteri berada dalam satu penerbangan dengan dengan tiga orang positif COVID-19 ketika dalam penerbangan ke Sabah awal Mac lalu.

“Kami terkejut dan cuak juga bila mendapat tahu perkara itu dan terus membuat pemeriksaan keesokkan harinya iaitu sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada Gempak.

Izzue juga turut mendedahkan perkara tersebut di dalam segmen Artis Duduk Diam menerusi Instagram (IG) Live Astro Gempak dan akaun IG miliknya.

Menceritakan pengalamannya melakukan saringan tersebut, Izzue memberitahu ia satu perkara yang tak dilupakan.

“Masa saringan itu, pertama sekali kami diminta untuk mengeluarkan hingus terlebih dahulu.

“Kemudian mereka masukkan satu batang panjang kira-kira sejengkal ke dalam kedua-dua lubang hidung saya. Masa tu ada rasa geli dan pedih juga sampai saya bersin beberapa kali.

“Selesai mengambil sampel di hidung, mereka masukkan pula satu lagi batang panjang ke dalam kerongkong kami,” katanya lagi.

Namun Izzue bersyukur selepas dua hari saringan itu dilakukan doktor mengesahkan dia negatif COVID-19.

“Alhamdulilah rasa lega sangat bila dapat tahu kami tiada jangkitan COVID-19.

“Yelah, bukan sahaja bimbangkan diri kami malam orang-orang yang sudah kami jumpa selepas pulang dari Sabah jika kami dijangkiti,” luahnya lagi.

Izzue dan Awin yang juga pengurus peribadinya mendirikan rumah tangga pada 2 Jun 2013.