Pelakon Ben Amir mengesahkan dirinya antara pelakon yang terlibat dengan penggambaran drama Demi, arahan Rahila Ali di Inverness, Scotland pada awal Mac lalu.

Ben ketika dihubungi Gempak berkata, dia bersyukur kerana dirinya tidak dijangkiti selepas ujian saringan COVID-19 dijalankan.

Bagaimanapun Ben bersimpati dengan dengan Puteri Aishah, Rahila dan seorang kru produksi yang disahkan positif COVID-19.

Selain itu dia turut memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai perkara tersebut kerana bimbang timbul spekulasi.

“Alhamdulillah setakat ini keadaan saya baik-baik saja. Tiada sebarang gejala dijangkiti wabak ini.

“Doakan pengarah Rahila Ali, Puteri Aishah dan kru produksi yang dijangkiti COVID-19 sembuh ya.

“Saya minta maaf sebab tak boleh nak berkongsi lebih mengenai perkara ini sebab takut timbul spekulasi dan cerita tidak betul.

“Semoga kita semua yang masih sihat ini, terus kuat menghadapi dugaan dan dijauhkan daripada wabak ini,” katanya.

Mengulas mengenai saringan kedua COVID-19 seperti yang diberitahu Rahila sebelum ini, Ben berkata ujian kali kedua tersebut mungkin untuk mereka yang sudah disahkan positif.

“Ya ada dengar mengenai ujian kedua tersebut. Mungkin untuk mereka yang sudah disahkan positif,” ujarnya tenang.

Selain Ben dan Puteri Aishah, pelakon lain yang terlibat dalam penggambaran tersebut ialah Ashraf Muslim dan Puteri Rayyana Rayqa.

Ben pulang ke tanah air lebih awal, iaitu pada 27 Mac lalu berbanding semua kru dan pelakon lain yang kembali ke Malaysia empat hari selepas itu, iaitu pada 31 Mac lalu.

“Sampai di Malaysia saya terus kuarantin diri di rumah dan selepas tu buat pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Damansara.

“Berdebar juga tunggu keputusan, tapi esoknya tu saya disahkan negatif COVID-19,” katanya.