Penyanyi adik beradik, Aiman Tino dan Fara Hezel menyambut kedatangan ahli keluarga baru apabila ibu mereka, Hazelina Mat Jalil, 43, melahirkan anak ke-11 sebentar tadi.

Memetik laporan mStar, Hazelina atau mesra disapa sebagai Riena telah melahirkan bayi perempuan seberat 3.39 kilogram secara normal di Hospital Selayang, Selangor.

"Alhamdulillah, proses kelahiran anak ke-11 ini dipermudahkan, cuma lama sikit bayi mahu keluar.

"Saya telah menunggu di bilik bersalin dari pukul 11 malam hingga 6 pagi.

"Namun begitu, semuanya berjalan lancar, 11 kali bersalin semestinya sakit dan pengalaman itu tidak sama, perasaan gementar dan takut masih ada," kata Riena.

Dalam pada itu, Riena turut memberitahu nama cadangan yang bakal diberi kepada anaknya itu.

"Selepas ini saya akan berpantang di rumah kami di Kuala Kubu Bharu, saya dan suami dah fikirkan nama iaitu Nina Deylisya," katanya lagi.

Tambah Riena, bayi itu merupakan anak yang terakhir memandangkan pihak doktor menyarankan untuk tidak lagi hamil atas faktor kesihatan.

"Apapun, saya mahu ucapkan terima kasih kepada doktor, jururawat di Hospital Selayang yang banyak membantu sepanjang proses kelahiran walaupun semuanya sedang sibuk berhadapan wabak COVID-19.

"Ini anak terakhir, doktor dah sarankan untuk 'tutup kilang' atas faktor kesihatan, anak pun sudah ramai, lepas ini kami tunggu cucu pula," tambah Riena.

Selain Aiman, Fara dan bayi tersebut, Riena dan suaminya Yusry Ishak, 50, mempunyai lapan lagi cahaya mata.

Sumber : mStar