Pelawak, Mamat Sepah yang baru mendirikan rumah tangga baru-baru ini akui kasihan melihat isterinya yang terpaksa bertugas dan berkawal sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

Mamat berkata, isterinya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam turut dibekukan cuti sehingga pandemik COVID-19 betul-betul pulih.

“Kesian bini aku, tak cukup rehat…Kadang tu duduk depan TV pun terlelap. Nak kejut tak sampai hati sebab aku tahu dia letih.

“Sepanjang PKP ni, aku jadi pendengar setia dia yang sedih dengan orang-orang degil dan ingkar PKP di kawasan sini.

“Isteri aku kata, kalau boleh polis pun tak mahu tangkap orang, tak mahu marah-marah dah halau suruh balik rumah…tapi disebabkan terpaksa tugas, kena buat juga,” katanya.

Tambah Mamat, sepanjang PKP ini rutin hariannya juga berubah iaitu ‘bertugas’ menghantar isteri pergi dan balik kerja.

“Dia tak minta aku hantar dia pergi kerja tapi aku yang volunteer. Berkorbanlah sikit untuk isteri…Tengok dia penat pun dah tak sampai hati.

“Kalau nak diikutkan hati ni rasa bersalah sebab tak sempat pun nak bawa isteri pergi berbulan madu dan rasa macam ‘pengantin baru’.

“Raya tahun ini pun mungkin di Shah Alam sahaja kalau rantaian COVID-19 ini tak putus. Lagi pun isteri kena kerja,” katanya.

Mamat dan Diana Ibrahim sah bergelar suami isteri pada 2 Mac lalu di di Kulai, Johor.