Polis tidak akan lagi menjadikan denda kompaun RM1,000 sebagai pilihan utama untuk individu yang sengaja mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lapor AWANI.

Sebaliknya, ujar beliau lagi, hari pertama PKP fasa ketiga esok akan menyaksikan mereka yang ditahan, akan direman dan seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

Beliau berkata, keputusan lebih tegas itu diambil ekoran sikap sambil lewa rakyat yang semakin meningkat berdasarkan jumlah kenderaan di atas jalan, serta peningkatan jumlah mereka yang ingkar terhadap arahan PKP.

“Kita lihat seolah olah rakyat tidak peduli atau tidak takut kepada undang undang yang kita ada hari ini. Mungkin RM1,000 tidak dianggap begitu tinggi untuk menakutkan mereka yang terus ingkar kepada PKP.

“Oleh itu, kita telah bersetuju bahawa polis mulai esok tidak lagi beri tumpuan kepada kompaun, sebaliknya, sesiapa yang ditahan akan direman atau dihadapkan ke mahkamah, dan biarlah mahkamah putuskan hukuman lebih berat,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya hari ini.



Terdahulu, beliau berkata, 1,374 individu telah ditahan semalam kerana ingkar PKP, merangkumi 931 individu dikenakan kompaun RM1,000; 418 individu direman dan 25 individu telah dijamin polis.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 427 individu telah dituduh di mahkamah di atas kesalahan mengingkari PKP.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP, sehingga 13 April 2020, adalah seramai 9,990 individu dan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan adalah sebanyak 4,036,” katanya lagi.

Sumber : Astro AWANI