Supermodel antarabangsa popular Gigi Hadid mendedahkan dirinya kini hamil anak bekas anggota One Direction, Zayn Malik.

Namun, apa yang menjadi perbualan hangat wargamaya tentang pasangan secocok ini adalah agama anutan mereka berdua memandangkan Zayn dan Gigi bakal memiliki anak tanpa berkahwin.

Terdahulu, Zayn yang sebelum ini sememangnya seorang Muslim telah mengeluarkan kenyataan yang dia sudah keluar daripada agama Islam pada tahun 2018.

Walaupun begitu, dia bersyukur apabila dibesarkan dalam keluarga Islam British.

Zayn yang berdarah kacukan Irish dan Pakistan turut mendedahkan dia pernah mempelajari agama Islam dan pergi ke masjid sewaktu zaman kecilnya.

Bagi Gigi atau nama sebenarnya Jelena Noura Hadid, dia tidak pernah menyatakan agama anutannya kepada umum.

Namun, sejarah keluarga Hadid meyaksikan bapanya Mohamed Hadid dilahirkan di Palestin serta membesar di Syria dan Labenon sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada usia 14 tahun.



Malah adiknya yang juga supermodel terkenal Bella Hadid secara umum memberitahu yang dia bangga menjadi seorang Muslim.

Hasil tinjaun Gempak di ruang Twitter, selain meraikan berita kehamilan Gigi, ada wargamaya yang mempersoalkan agama kedua-dua selebriti itu memandangkan mereka tidak pernah berkahwin.

“Saya gembira melihat Gigi dan Zayn kembali bersama. Tapi untuk menormalkan ada anak sebelum berkahwin, rasanya semua agama pun menentang perkara itu,” komen seorang wargamaya.

“Zayn dah pernah nyatakan dulu yang dia dah murtad dan while Gigi pulak tak pernah nyatakan agama dia. Bella hadid dan bapa mereka je pernah beritahu yang mereka Muslim,” kata seorang wargamaya.

“Semoga bayi yang baru lahir nanti diazankan oleh orang tua mereka yang masih Muslim,” tegur seorang wargamaya lagi.

Sekadar info, pasangan ini mula menjalin hubungan sekitar tahun 2015 dan berpisah seketika pada tahun 2018 sebelum kembali bersama pada awal 2020.