Ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pastinya kekerapan untuk kita semua keluar ke rumah semakin berkurangan.

Individu paling diperlukan ketika pandemik COVID-19 ini pastinya perkhidmatan penghantaran barangan atau lebih dikenali sebagai 'runner'.

Namun, di saat orang ramai bersyukur dengan adanya perkhidmatan sebegini, ada pula yang cuba mengambil kesempatan.

Perkara itu berlaku terhadap seorang runner yang mahu dikenali sebagai Hairul.

Menurut Hairul, kejadian tersebut berlaku beberapa hari lalu apabila ada seorang pelanggan wanita meminta pertolongan untuk membelikan barangan keperluan dapur.

Menurutnya. dengan niat untuk membantu dan memudahkan urusan wanita tersebut, dia kemudian bersetuju dan seterusnya menyenaraikan semua kelengakapan barangan tersebut.

"Telur 30 biji, ayam dua ekor, buttercup, bawang besar satu guni. Namun, apabila tiba masa untuk saya mintak dia masukan duit tiba-tiba nombor saya telah disekat

"Saya terkilan dan sedih la sikit. Soal duit tu tak kesah, boleh dicari tapi jangan la sampai menipu.

"Tak sangka di bulan mulia nie, ada yang tak jujur. Bukan saya tak ada caj deposit cuma hari itu saya terkejar-kejar banyak order dari pelanggan.

"Apapun silap saya sendiri sebab terlalu sibuk, memang atas motor je sehari tu," katanya.

Tambah Hairul, walaupun diuji dengan dugaan seperti itu, dia tidak putus semangat kerana pekerjaan sekarang memberinya kepuasan untuk tolong ramai orang.

"Saya pun manusia, saya dah halalkan semuanya. Bukan rezeki saya kan, mungkin bersebab dia buat macam tu.Kite doa yang baik-baik je.

"Pengalaman saya ini bukanlah nak aibkan siapa-siapa, cuma cuma ambil lah pengajaran dan iktibar apa yg terjadi," katanya.

Hairul berkata demikian ketika dihubungi Astro Gempak, semalam.

Pada masa sama Hairul turut berkongsi perbualan bersama pelanggan di WhatsApp sebelum dia disekat.

Anda boleh lihat gambar perbualan tersebut di bawah.