Sejak viral kisah saluran YouTube Sugu Pavithra yang menampilkan pasangan suami isteri keturunan India, ramai pihak yang mendakwa mereka menerima bayaran sebagai rakan YouTube sehingga mencecah ribuan ringgit.

Namun, hakikat sebenar, menurut S. Pavithra, 28, dia hanya baru menerima bayaran gaji pertamanya menerusi video masakannya berjumlah RM900 sahaja.

"Baru hari ini (semalam) saya pergi ambil gaji pertama saya. Saya lama tak pergi ambil sebab tak tahu prosedur untuk mendapatkan bayaran tersebut.

"Gaji YouTube pertama saya RM900 sahaja. Apa yang keluar di Youtube dan berita-berita lain kata saya dapat beribu-ribu tu semua tipulah," katanya ketika dihubungi Gempak .

Pavithra berkata demikian selepas pulang daripada membuat tuntutan wang bayaran daripada YouTube di Pejabat Pos Besar Ipoh, Perak semalam.

Menurut Pavithra, dia tidak menafikan kemungkinan dirinya boleh menerima bayaran lumayan sebagai rakan YouTube, namun semua itu memerlukan komitmen yang tinggi untuk menghasilkan jumlah video yang banyak.

"Saya ini baru mula buat YouTube. Mungkin orang nampak saya ramai subscriber sehingga beratus-ratus ribu. Tapi untuk dapat bayaran beribu saya kena buat video beratus-ratus.

"Sekarang ini video saya pun baru berapa puluh sahaja. Mungkin selepas ini baru gaji akan lebihlah," ceritanya.

Buat masa ini, kata Pavithra, dia mampu menghasilkan empat hingga ke lima video sahaja dalam seminggu.



Terdahulu, kisah Sugu Pavithra yang bercakap menggunakan bahasa Melayu menerusi video masakannya mencuri tumpuan ramai.

Bahkan, kisah Pavithra yang merupakan seorang suri rumah yang membuat saluran Youtube untuk membantu suaminya, M. Sugu yang bekerja sebagai buruh ladang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BACA: Sugu Pavithra Nak Masak Untuk Semua Jiran Gunakan Barangan Asas Yang PM Bagi




Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!