Pelakon dan pengarah, Datuk Hans Issac akui penantiannya selama ini sudah berakhir apabila jawatannya sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dibatalkan.

Hans menerima suat rasmi mengenai pembatalan pelantikan itu pada hari ini, 23 Mei selepas menjadi Pengerusi Finas sejak April tahun lalu.

“Saya bersyukur kepada Tuhan segala penantian berakhir di mana saya telah menerima surat penamatan kontrak sebagai Pengerusi FINAS bermula 1 Syawal 1441H / 24 Mei 2020,” katanya.

Hans mengesahkan berita tersebut menerusi akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut, Hans memuat naik surat penamatan kontrak tersebut.

Hans juga turut mengimbas kembali antara usaha dan inisiatif yang telah dilakukan untuk industri seni perfileman ketika menyandang jawatan tersebut.

“Mengimbas kembali dalam tempoh beberapa bulan sebagai Pengerusi FINAS, saya telah mencuba yang terbaik untuk industri ini walaupun berdepan dengan tatacara dan cabaran birokrasi dalam agensi kerajaan,” katanya lagi.

Official Statement: Selamat Sejahtera & Salam Akhir Ramadhan kepada semua 1. Saya bersyukur kepada tuhan segala penantian berakhir di mana saya telah menerima surat penamatan kontrak sebagai Pengerusi FINAS bermula 1 Syawal 1441H / 24 Mei 2020. 2. Mengimbas kembali dalam tempoh beberapa bulan sebagai Pengerusi FINAS, saya telah mencuba yang terbaik untuk industri ini walaupun berdepan dengan tatacara dan cabaran birokrasi dalam agensi kerajaan. 3. Sedikit pencerahan terhadap isu industri kini, saya telah membangkitkan keresahan industri ini kepada YB Menteri KKMM sebelum pandemik ini bermula. Saya telah memohon untuk berjumpa untuk saya bentangkan langkah-langkah pro-aktif untuk industri ini namun tidak ada ruang diberikan sehingga hari ini. 4. Saya mendengar suara orang industri untuk menuntut penjelasan FINAS mengenai cabaran kini dan memang saya sentiasa peka namun kami terikat dengan arahan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. 5. Namun atas tanggungjawab saya sebagai anak seni, saya teruskan untuk mendesak kerajaan untuk memberikan maklum balas kepada tuntutan industri. 6. Saya bersyukur dapat Bertemu dengan bersama YB Menteri Kewangan untuk membincangkan survival industry Pertemuan bersama YB Menteri Kewangan berlangsung dengan sangat baik di mana saya telah menerangkan permasalahan industri dari sudut ekonomi dan apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan. Hasilnya, saya telah menyerahkan kertas cadangan kepada YB Menteri Kewangan untuk Dana Ransangan Ekonomi dan Kebajikan untuk segera dilaksanakan untuk survival industri kreatif. Saya berharap ianya dapat dilaksanakan dengan segera dan memberi manfaat kepada ahli industri berdepan cabaran ini. (Please ready next post for final part of statement)

A post shared by Hans Isaac (@hansisaac) on

Part 2 : 8. Akhir kata, disepanjang tempoh saya sebagai Pengerusi Finas dalam segala usaha saya mungkin ada menyinggung perasaan beberapa pihak, secara ikhlas ianya tidak disengajakan dan saya mohon maaf, ia hanyalah untuk kebaikan industri dari pandangan saya pada masa itu. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Dato KSU, semua Ahli Perbadanan kerana telah memberi khidmat yang terbaik dengan penuh integriti, juga tidak lupa semua warga KKMM, Finas dan anak seni yang turut memberikan kerjasama dengan kami. Kepada ahli industri, Saya ingin menyebut mungkin saya bukan orang yang terbaik tapi saya telah lakukan apa yang terbaik yang boleh dari pihak saya. Sebagai anak seni yang telah berkecimpung dalam industri dalam 30 tahun, perjuangan saya untuk membela industri ini tidak akan berakhir di sini. Perjuangan saya untuk kebajikan industri seperti KWSP untuk warga industri, Dana Kebajikan dan lain-lain akan terus diperjuangkan. Tanpa jawatan Pengerusi FINAS, maka sekarang saya bebas bersuara tanpa sebarang tatacara. Semoga semua yang di perjuangan akan dilaksanakan dan ini hadiah saya kepada semua ahli industri sempena Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Dan Batin.

A post shared by Hans Isaac (@hansisaac) on


Sementara itu, menerusi akaun Facebook rasmi FINAS turut mengesahkan perkara tersebut.

Menerusi kenyataan tersebut, FINAS membuat pelantikan baru iaitu Zakaria Abdul Hamid sebagai Pengerusinya dan Datuk Norman Abdul Halim sebagai Timbalan Pengerusi FINAS bermula 23 Mei 2020.


Terdahulu, Hans Issac telah didesak untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi FINAS oleh sekumpulan persatuan penggiat seni tanah air.

Desakan tersebut dibuat Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM), Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC) kelmarin.

Mereka mendakwa beliau gagal melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan industri seni tanah air selain dikaitkan dengan beberapa dakwaan salah guna kuasa.