Seorang pelajar jurusan pergigian sebuah universiti tempatan, Nur Ain Amira Md Anuar berkongsi rasa gembiranya apabila berjaya mengumpul RM2,473 dari tabung tong penghawa dingin keluarganya di kampung.

Cerita Ain, 21, duit syiling yang dikumpul sejak lima tahun lalu itu pada mulanya ingin digunakan untuk bercuti bersama keluarganya.

"Sebenarnya tabung itu tabung keluarga, jadi semua ahli keluarga kami termasuk adik-beradik saya menyimpan lebihan baki duit syiling dalam tabung itu.

"Alhamdulillah selepas limat tahun juga dapat kumpul sebanyak RM2,473 dan semuanya telah ditukarkan di bank.

"Kalau ikutkan plan asalnya apabila buka tabung itu kami sekeluarga mahu bercuti tetapi memandangkan kekangan sekarang, kami simpan terlebih dahulu untuk kegunaan masa akan datang," katanya kepada Gempak.

Tabung yang dicipta oleh bapanya Md Anuar Nabijan, 54, dari tangki penghawa dingin itu disimpan rapi di dalam bilik berkunci di rumah mereka.

Tambah Ain, perasaannya teruja ketika proses memecahkan tabung unik itu bersama-sama ahli keluarganya di Marang, Terengganu, baru-baru ini.

"Memang susah, mula-mula ayah guna penukul tapi tiada kesan. Kemudian terpaksa potong guna penggerudi dan siap pakai helmet sebab risau percikan api itu.

"Proses nak bawa tabung itu ke luar rumah pun susah kerana kami terpaksa menggolekkan tong besi itu kerana terlalu berat," tambahnya.



Selepas tular, keluarganya khuatir apabila ramai yang berkongsi pengalaman malang rumah dipecah masuk pencuri untuk mendapatkan tabung duit yang disimpan di rumah.

"Dulu tak ada risau sangat sebab kalau orang tengok pun tak macam tabung.

"Sekarang apabila ramai sudah tahu, ada terdetik rasa risau tu walaupun disimpan dalam bilik berkunci," kata Ain lagi.

Bagaimanapun, Ain menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan sikap suka menabung demi kegunaan ketika kecemasan.