Pelantikan pengarah dan penerbit filem, Datuk Prof Dr. Abdul Razak Mohaideen menjadi ahli perbadanan baru bagi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dipertikai hebat oleh netizen.

Menjengah ke laman Twitter, rata-rata wargamaya tidak bersetuju dengan pelantikan Razak dan mempertikaikan keputusan terbabit.

Malah, ada juga memperkatakan mengenai kualiti filem arahan Razak, Badang yang didakwa tidak berkualiti.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid mempunyai pandangan tersendiri mengenai hal itu.

"Saya tahu mengenai perkara tersebut. Namun begitu, harus diingat setiap anggota yang dilantik mempunyai peranan masing-masing.

"Insya-Allah, selepas bermesyuarat nanti, tugas masing-masing akan diumumkan.

"Saya nampak Razak lebih cenderung kepada 'training'. Dia merupakan seorang ahli akademik. Selain Razak, dalam senarai ahli perbadanan juga ada seorang lagi pensyarah lain," kata Zakaria.

Zakaria ditemui usai majlis sidang media bersama Pengerusi Baharu FINAS di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Klang, pada Rabu.








Pelantikan Zakaria yang berkuatkuasa pada 23 Mei lalu diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Senarai keanggotaan Ahli Perbadanan yang telah dilantik oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia selaras dengan peruntukan di bawah Akta 244 untuk tempoh dua tahun bermula 23 Mei 2020 sehingga 22 Mei 2022.

Zakaria menggantikan Datuk Hans Isaac yang berkhidmat sejak April 2019.

Dalam pada itu, Zakaria turut menegaskan yang tugas kerja setiap ahli perbadanan akan dibahagikan mengikut kepakaran masing-masing.

"Tugas kerja akan diberikan mengikut kepakaran masing-masing. Bagi mereka yang memperkatakan mengenai hal terbabit, boleh tunggu dahulu.

"Insya-Allah, pada minggu hadapan akan saya umumkan portfolio setiap ahli perbadanan selepas bermesyuarat," katanya lagi.

BACA: Didakwa Dilantik Kerana Pengaruh Politik, Ini Jawapan Pengerusi Baharu FINAS

BACA: "Pasukan Baru FINAS Akan Terus Beri Perhatian Isu Harta Intelek" - Norman Abdul Halim