Pelakon Risteena Munim mengakui akan melangsungkan perkahwinan tahun ini dan masih di dalam fasa perbincangan mengenai perkara tersebut.

Risteena ketika dihubungi Gempak berkata, dia dan tunang, Isa Khan bagaimanapun sedang dalam pertimbangan untuk menamatkan zaman bujang mereka kerana pandemik COVID-19.

“Kami rancang berkahwin tahun ini tetapi buat masa ini kedua-dua belah keluarga sedang berbincang mengenainya.

“Tarikh pun terpaksa difikirkan semula kerana pandemik ini. Apa pun kalau ada berita baik selepas ini kami akan kongsikan,” katanya.

Tambah Risteena lagi, dia mengharapkan segalanya berjalan dengan lancar dan urusan mereka dipermudakan.

“Doa-doakanlah semuanya berjalan seperti yang dirancang. Terima kasih kepada sahabat-sahabat dan para peminat yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata positif selama ini,” ujarnya.

Risteena dan dan Isa Khan bertunang 23 November lalu dalam satu majlis kejutan yang diadakan di Bora Ombak, Putrajaya.

Terdahulu Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim, 31, pernah dikecam warganet gara-gara memuat naik kisahnya yang disangka kena culik selepas hilang daripada radar tunang, Isa Khan, 27.

Bagaimanapun pelakon drama Playboy Itu Suami Aku tidak tersinggung dengan kata-kata warganet kerana baginya, dia hanya berkongsi mengenai kehidupan sehariannya di platform media sosial sendiri.

“Saya hanya kongsi apa sahaja yang dilalui setiap hari. Lagipun itukan laman sosial peribadi saya, berkongsi kisah sendiri sahaja bukannya saya bercakap buruk fasal orang lain.

“Saya hanya mahu mengabadikan momen istimewa di laman sosial sendiri sahaja,” katanya.