Siapa sahaja yang tidak risau tentang berat badan yang meningkat ketika musim perayaan.

Meskipun masyarakat Malaysia menyambut Syawal dalam keadaan yang lebih sederhana tahun ini demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun kebanyakan daripada kita masih menikmati pelbagai juadah enak di rumah saudara mara, mahupun di kediaman masing-masing.

Seperti diketahui ramai, hidangan enak seperti lemang, ketupat, rendang dan pelbagai lagi sememangnya mengandungi jumlah kalori yang tinggi.

Walaubagaimanapun, jangan terlalu risau jika berat badan anda sudah meningkat, anda boleh kembali lakukan senaman secara berterusan dan mengamalkan pemakanan yang sihat mulai hari ini!

Mari ikuti lima tips penting mengenai amalan senaman selepas raya seperti yang disyorkan oleh pakar nutrisi dan jurulatih kecergasan, Kevin Zahri.

1. Jangan Bersenam Secara Mengejut

Ya, memandangkan anda sudah lama tidak bersenam ketika bulan Ramadan dan beberapa hari selepas Raya, anda harus lakukan senaman yang tidak terlalu berat agar badan tidak terkejut.

Lakukan senaman yang rendah intensiti sahaja sebelum kembali kepada rutin lama anda sebelum ini.

2.Lakukan Senaman Tidak Melebihi Satu Jam

Lakukan senaman satu badan (full body workout) dengan menggunakan beban yang lebih ringan (jika menggunakan peralatan beban).

Jika bebanan sudah diringankan, anda boleh menambah bilangan ulangan dalam satu jenis senaman itu. Perkara yang sama juga harus dilakukan dalam senaman kardio, jangan terus lakukan secara mengejut!

3. Jangan Paksa Diri

Jangan sesekali paksa diri melakukan senaman seperti yang selalu dilakukan sebelum bulan puasa meskipun anda rasa mampu untuk melakukannya.

4. Jangan Takut & Risau Jika Mengalami Sakit-Sakit Badan

Perkara ini sudah menjadi kebiasaan, malah itu juga satu petanda bagus. Jika anda mengalami sengal atau sakit-sakit badan selepas bersenam, ambil masa untuk rehatkan badan selama dua atau tiga hari sebelum kembali bersenam semula.

5. 'Listen To youself, Listen To Your Body' & Jangan Tidak Bersenam!

Apa yang penting, ikut kemampuan diri sendiri dan kenali kemampuan badan anda sendiri, jangan tinggalkan rutin senaman!

Apapun, pengetahuan sahaja tidak cukup untuk mendapatkan berat badan ideal, ia harus disertai dengan disiplin yang kuat. Semoga lima tips ringkas ini mampu membantu anda dalam mengawal berat badan selepas musim perayaan ini.

Sumber : kevinzahri.com
Kredit Foto : mStar, maskulin.com.my