Penyanyi dan juga bekas Miss World Malaysia 2008, Dr. Soo Wincci beranggapan Samantha Katie James masih muda dan mentah untuk bercakap tentang sesuatu isu sensitif seperti perkauman.

Menurut Wincci, 35, perjalanan sebagai seseorang ratu itu masih panjang dan mungkin Samantha belum pernah melalui perit dan pahitnya setiap langkah itu.



“Sebenarnya bila saya tengok dia, saya rasa mungkin dia masih mentah dan muda.

“Bagi saya sendiri, sampai sekarang saya berasa tak cukup pengetahuan nak bercakap pasal isu perkauman dan sama juga seperti Samantha, perjalanan dia masih panjang.

“Saya faham bahawa setiap orang ada pendapat dia tapi perlulah mereka ini melalui dan merasai perkara itu terlebih dulu sebelum bercakap,” kata Wincci ketika dihubungi Gempak.



Tambah Wincci, dia mahu Samantha atau sesiapa sahaja lebih berhati-hati melontar pendapat kerana zaman laman sosial sekarang menjadikan sesuatu perkara itu mudah tular.

“Sekarang benda mudah jadi viral jadi perlu lebih berhati-hati. Tambahan pula sebab ini bukan isu negara kita. Kalau boleh negara orang lain kita jangan campur tangan,” ujar Wincci lagi.

Dia turut berharap agar Samantha membuat permohonan maaf dan semua rakyat Malaysia perlu beri dia peluang untuk berdiri semula.



“Berilah peluang kepada dia, tak perlulah sampai mahu gelaran Miss Universe Malaysia itu dilucutkan.

“Beri dia masa untuk bertenang dan harap semua netizen akan maafkan dia,” jelas Wincci lagi.



Terdahulu, bekas Miss Universe Malaysia 2017 itu mencetus kemarahan umum apabila mengeluarkan kenyataan berunsur racist terhadap orang berkulit hitam.

BACA: "I'm Sorry, I Know You're Hurting" - Didakwa Rasis, Ini Penjelasan Samantha Di IG... Netizen Pula Tak Henti Kecam, Tinggalkan Lebih 100,000 Komen!

Selepas dikecam hebat, Samantha membuat penjelasan dan memohon maaf menerusi laman Instagram miliknya tengah malam tadi.