Pelakon Mimi Lana mengambil positif tentang perpisahannya dengan aktor Syafiq Kyle dan tidak menolak sekiranya digandingkan bersama dalam mana-mana drama atau filem selepas ini.

Katanya kepada Gempak, dia profesional dan tidak mempunyai sebab untuk bermasam muka atau bermusuhan dengan bekas kekasihnya itu.

“Saya dan Syafiq tidak bermusuhan…Kalau selepas ini berjumpa di majlis-majlis hiburan kat luar sana pun tak ada masalah, kita profesional.

“Saya juga tidak menolak sekiranya selepas ini digandingkan dengan Syafiq dalam projek drama, filem atau projek-projek lain.

“Bagi saya, masing-masing sudah cukup matang untuk membezakan soal peribadi dan kerja,” katanya.

Tambahnya lagi, punca perpisahan mereka tiada kaitan dengan soal populariti atau gangguan orang ketiga.

"Memang betul saya yang putuskan hubungan kami walaupun sedih untuk melakukan demikian. Bohong kalau tidak rasa apa-apa selepas lima tahun menjalin cinta.

“Banyak kenangan kami, suka dan duka dilalui bersama…Tetapi nak buat macam mana tak ada jodoh dan hidup mesti diteruskan.

“Sekarang ni dah solo, saya nak fokus pada kerjaya dan keluarga saya dulu. Lebih senang saya nak rancang kerjaya seni saya lepas ni,” katanya.

Hubungan cinta Mimi dan Syafiq Kyle berakhir pada bulan lalu selepas tiada lagi persefahaman dalam hubungan tersebut.