Pendakwah bebas, Da'i Wan Dazrin membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai tegurannya terhadap cabaran Lathi Challenge yang menjadi tular baru-baru ini.

Permohonan maaf itu dilakukan Wan di laman Twitternya menerusi posting bertajuk ‘Permohonan Maaf Terbuka Kepada Orang-Orang Jawa’.

Menurut Wan, dia mengakui kekhilafannya dalam penggunaan kata sewaktu menyampaikan teguran dan nasihat.

‘Saya sebenarnya bertujuan menasihati umat Islam di Malaysia untuk berhati-hati dengan ‘sesetengah’ kepercayaan ritual daripada perbuatan Lathi Challenge dan tidak pernah berhasrat menuduh budaya Jawa secara keseluruhan. Saya minta maaf ya.

“Dengan ini, saya akan memadam nasihat itu. Bertujuan menarik balik perkataan ‘Jawa’ yang mungkin menyebabkan kemarahan dan sensitiviti orang-orang Jawa yang dikasihi.

“Maafkan saya atas kekhilafan penggunaan perkataan dalam nasihat yang disampaikan. Orang-orang Islam di Jawa, moga terus maju jaya,” tulisnya.

Wan juga menjelaskan dia tidak mempunyai apa-apa niat tertentu mahupun menghukum mana-mana Lathi Challenge sebagai haram.

“Sekali lagi, saya tidak pernah menghukumkan mana-mana ‘Lathi challenge’ sebagai haram. Saya bukan Mufti. Saya minta hentikan perbuatan itu bertujuan atas nasihat-menasihati. Hentikan supaya umat Islam tidak menjadi semakin lalai atau rugikan masa yang ada daripada Allah SWT.

“Jika nasihat saya itu boleh dan sudi diambil, maka ambillah. Jika ingin meneruskan berkarya, membuat Lathi Challenge, maka silakanlah. Saya bukan sesiapa utk menghalangnya. Itu adalah 100٪ hak dan pilihan kalian sendiri khususnya umat Islam di serata dunia.

“Sekali lagi, sebagai ucapan yang terakhir sebelum saya ‘padamkan’ kesalahan penggunaan perkataan yang menyebabkan orang Jawa mungkin terasa dan sebagainya. Saya memohon maaf terbuka ini tandanya saya menerima nasihat kalian. Terima kasih semua buat orang-orang Jawa yang prihatin dan penyayang,” jelasnya.


Terdahulu, Wan sebelum ini memohon agar cabaran viral, #LathiChallenge diberhentikan serta merta kerana berbahaya untuk dijadikan sebagai hiburan.

Menurut Dazrin, tarian itu sangat menakutkan kerana ia wujud dalam budaya Jawa yang syirik dan khurafat.

BACA: "Tarian Yang Kalian Lakukan Itu Sangat Merbahaya" - Da'i Wan Dazrin Suruh Berhenti Buat #LathiChallenge

Selain Wan, pendakwah dan pencerus Ummah Syed Bakri juga menegur sikap segelintir pengguna media sosial yang masih melakukan #LathiChallenge kerana cabaran itu haram disebabkan beberapa faktor yang diambil kira.

BACA: “Latar Belakang Lagu, Solekan Ala Syaitan, Lathi Challenge Haram” - PU Syed Beri Teguran