Baru-baru ini Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah mencuri tumpuan rakyat jelata apabila menikmati santapan roti tempayan di sebuah gerai di Pekan, Pahang.

BACA: “Kalau Aku Budak Baju Biru Tu, Tak Senang Duduk Dah” - Agong Bersantap Roti Tempayan Di Gerai, Humble!

Bukan itu sahaja, sekumpulan remaja yang duduk di belakang meja Seri Paduka turut sama menjadi bualan ramai.

Ketika dihubungi Gempak, Basyar, 20, menyatakan dia terkedu dan terkejut apabila dapat bertemu secara empat mata dengan Seri Paduka tanpa dirancang.

"Saya sebenarnya agak terkedu sekali dengan terkejut sebab perkara macam ni memang jarang berlaku. Kiranya saya dengan kawan-kawan lain ni beruntung sebab dapat makan sekali dengan Seri Paduka.

"Saya memang tak pernah terfikir yang Seri Paduka akan singgah ke tempat ini.

"Awal-awal tu memang saya gementar sebab ini kali pertama kan. Tapi lama-lama dah rasa okey sebab Seri Paduka layan santai. Seri Paduka seorang yang mesra dan sporting sangat," katanya.

Tambah pemilik nama Muhd Basyar Mohd Borhan berkata Seri Paduka meluangkan masa makan di situ kira-kira 30 minit.

"Masa Seri Paduka sampai tu kami pun baru sampai. Dalam 30 minit juga la kami dan Seri Paduka makan dekat kedai tu.

"Seri Paduka yang suruh kami duduk makan macam biasa. Seri Paduka sempat juga berpesan kepada kami untuk mengikuti Tatacara Operasi Standard (SOP)," katanya lagi.

Selain Basyar, dia bersama tiga orang kawannya yang lain iaitu Muhd Haris Zaim Ismail, Hariz Haikal Mohamad Hatta dan Nur Iman Mohd Hafiz Andrew.

Selepas selesai makan, jurugambar Seri Paduka ajak kami bergambar sekali sebagai kenangan.

"Kami nak balik dah masa tu tapi dipanggil oleh jurugambar Seri Paduka untuk bergambar bersama.

"Kalau ikutkan masing-masing taknak sebab malu," katanya menutup perbualan.