Pelakon Fauzi Nawawi bimbang kerana selepas sembilan hari, anak saudaranya Siti Najiha, 22, masih belum ditemui dan tiada khabar berita.

Menceritakan kembali bagaimana anak kepada kakak sulungnya hilang di kediaman mereka di Pantai Remis, Perak, Fauzi memberitahu ada beberapa perkara yang mencurigakan.

“Sehari sebelum anak saudara saya hilang, ada jiran nampak dua motor yang ditunggang dua lelaki yang tidak dikenali datang berjumpa dengannya.

“Semasa kejadian kakak saya tiada dirumah dan tidak mengetahuinya.

“Pada hari dia hilang pula, ibu saya yang tinggal bersama mereka terkejut apabila melihat pintu belakang terbuka luas dan mendapati anak saudara saya itu hilang.

“Dia hilang tanpa membawa apa-apa termasuk wang, cuma kad pengenalannya sahaja dibawa bersama,” katanya.

Suami kepada Lisdawati itu dihubungi Astro Gempak, selepas melaporkan anak saudaranya hilang semalam.

BACA: “Dia Remaja Istimewa, OKU…”- 6 Hari Hilang, Fauzi Nawawi Minta Cari Anak Saudaranya

Fauzi cuma berharap agar anak saudaranya segera ditemui kerana seluruh ahli keluarganya bimbang dengan keadaannya yang merupakan seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kami terutama ibunya amat bimbang dengan anaknya lebih-lebih lagi seorang OKU dan anak remaja kerana sebelum ini dia tidak pernah keluar rumah bersendirian tanpa ibu bapa bersama.

“Kami pun sudah membuat laporan polis, cuma sekarang kita sedang mendapat pertolongan syarikat telekomunikasi untuk kesan siapa yang dihubungi dan di mana.

“Cuma kami dapat tahu lokasi terakhir dia matikan telefonnya di Hilir Perak iaitu lebih 40 kilometer dari rumahnya yang terletak di Pantai Remis.

“Saya harap ramai yang membantu mencari anak saudara saya supaya dia segera ditemui,” katanya lagi.

Entri tersebut mendapat perhatian pengikutnya yang turut bersimpati dengan nasib anak saudaranya dan turut cuba membantu mencarinya.