Pelawak dan penyampai radio Shuib Sepahtu akui mendapat tawaran kurniaan untuk bergelar 'Datuk' dari sebuah negeri baru-baru ini.

Bagaimanapun, Shuib masih belum membuat keputusan sama ada untuk menerima pangkat tersebut atau tidak.

"Saya ada dapat tawaran dari sebuah negeri dan kami akan berbincang lagi mengenai perkara ini. Cuma tunggu saya cakap 'ya' saja.

"Ada banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan untuk menerima atau tidak pangkat tersebut.

"Ada kata tak sesuai sebab saya masih bekerja sebagai penyampai radio tapi mereka kata saya ada kriteria yang cukup," katanya kepada Gempak.

Shuib ditemui pada majlis pelancaran cawangan terbaharu Bubble Bee di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambah Shuib, selaku ahli perniagaan, gelaran tersebut akan memudahkannya berurusan terutama apabila melibatkan usahawan berpengaruh.

"Kalau fikir daripada segi bisnes memang saya rasa perlu gelaran Datuk ni.

"Lagipun saya selalu menghadiri mesyuarat bersama usahawan yang pelbagai pangkat dari Datuk sampai Tan Sri, rasa diri janggal pula.

"Bila ada Datuk tu mungkin rasa lain sikit. Tapi itulah, tak tahu nak cakap lagi. Kadang-kadang rasa pelik pula bila orang panggil Datuk Shuib," ujarnya.

Sementara itu, Shuib merancang untuk membuka lebih banyak cawangan Bubble Bee pada masa akan datang dan melibatkan lebih ramai selebriti sebagai rakan kongsi.