Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata tidak salah untuk melakukan ibadah korban dengan lembu wagyu.

Tetapi dari sudut perolehan manfaat yang lebih ramai dan besar, maka sudah tentu melakukan ibadah korban dengan lembu biasa adalah lebih utama dalam situasi seperti ini.

“Selaras konsep korban mengikut keutamaan berdasarkan situasi semasa penularan pandemik wabak Covid-19, maka ia perlulah diteliti dengan sebaiknya.

“Mengikut pengamatan, terlalu ramai individu yang memerlukan bantuan terutama untuk merasai daging yang nilainya sekarang ini melebihi RM30 sekilogram," kata Zulkifli menerusi Al-Bayan Siri 11 bertajuk Ibadah Korban Dengan Lembu Wagyu di Facebook (FB) beliau, pada Ahad (semalam).

Zulkifli berkata, biarpun tidak menjadi satu kesalahan untuk melakukan ibadah korban lembu wagyu mencecah RM30,000 bagi satu bahagian, namun nilainya sama bagi enam lembu biasa yang manfaatnya lebih luas dan ramai orang miskin boleh merasai daging korban sempena Aidiladha kelak.

"Jika dilihat, dengan nilai RM30,000 itu, sekiranya dihitung menggunakan jumlah nilai semasa lembu iaitu kira-kira RM5,000 bagi seekor lembu, maka kita dapat memperoleh sekitar enam ekor lembu biasa.

"Daripada jumlah enam ekor lembu ini, sudah tentu ia dapat memberikan manfaat yang lebih besar dan ramai orang miskin akan dapat merasainya.

"Adalah ditegaskan bahawa lebih aula (utama) dari sudut Fiqh Aulawiyyatnya untuk memberi makan seramai mungkin kepada golongan asnaf dan yang memerlukan.

"Dengan cara ini (korban lembu biasa), jelas kita akan dapat membantu golongan masyarakat dalam bilangan yang lebih ramai. Faedah merasa daging lembu dan korban juga dapat dikongsi bersama dengan lebih meluas," katanya.

Beliau difahamkan harga satu bahagian korban lembu wagyu baka Jepun itu boleh mencecah sehingga RM30,000 yang mana dagingnya bergred A5 dan berat hidup sekitar 800 kilogram (kg).

Menurutnya, manakala setiap peserta akan menerima 50 kg daging apabila selesai proses sembelihan dan justeru setiap peserta akan membayar dengan harga RM600 bagi satu kilogram daging wagyu.

Artikel Berkaitan: