Pelakon Mas Khan telah dikenakan denda sebanyak RM17,000 atau penjara selama 26 bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 milik penerbit Datuk A Aida.

Memetik laporan Harian Metro, Majistret Farah Nasihah Annuar menjatuhkan hukuman itu selepas Mas Khan atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan menukar pengakuan kepada bersalah dalam sebutan ketiga kes berkenaan.

Untuk pertuduhan pertama, Mas telah dikenakan denda sebanyak RM7,000 atau penjara 12 bulan, sementara denda RM10,000 atau penjara 14 bulan untuk kesalahan kedua.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, tertuduh telah didakwa mencuri wallet mata wang kripto milik A Aida, 50, atau nama sebenarnya Zaidah Awang tanpa izin dengan nilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di Taman Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur pada 7 Mac 2019.

Difahamkan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.







Sebelum ini, Mas yang diwakili peguam Surya Putra Mohamad Taufan telah memohon denda minimum dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan telah memberi kerjasama baik sejak awal siasatan.

Walaubagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kes tersebut membuatkan mangsa mengalami kerugian tinggi yang melebihi RM200,000.

Sumber : Harian Metro/BERNAMA