Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Hanya Di Mercu, Ayu Damit, 31, bersyukur kerana masih menerima tawaran nyanyian biarpun jarang muncul di kaca televisyen.

Biarpun tanpa sebarang produk baru, Ayu masih diberikan rezeki undangan nyanyian yang tidak putus.

"Satu hakikat dan kenyataan yang saya hadapi. Ketika awal pembabitan dalam bidang hiburan, saya sering muncul di kaca televisyen tetapi tawaran di luar tidak banyak pun.

"Kerap muncul di kaca televisyen tak semestinya terima banyak tawaran di luar sana.

"Alhamdulillah, biarpun kini jarang muncul di program televisyen, saya masih menerima tawaran biarpun tidak banyak. Ia sentiasa ada dan tidak putus," kata Ayu.

Tidak berdiam diri, Ayu turut mencari peluang lain dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

"Saya tak segan untuk keluar dan meraih peluang sebagai penyanyi. Jika ada sebarang acara yang mahukan saya, tentunya saya tampil melakukan persembahan dan menghiburkan orang ramai.

"Saya juga tak duduk diam dan mengusahakan pelbagai perniagaan. Selain penanaman cili, produk cili jeruk serta bahulu Borneo, saya kini terlibat dalam bisnes perniagaan makanan dengan rakan kongsi.

"Kami mengusahakan restoran Tok Mak Citarasa Antarabangsa Ayu Damit D' Mercu yang terletak di Bukit Antarabangsa. Kami menyediakan pelbagai menu pilihan dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan negeri kelahiran saya, Sabah," katanya lagi.