Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Hantu Atau Buaya, Nana Sheme mengakui dirinya tidak kisah sekiranya perlu bermula semula daripada bawah selepas lama menyepikan diri daripada industri muzik.

Menurut Nana atau nama sebenarnya, Nur Nabilah Hashimi, 25, dia sedar kerjaya muziknya kini agak suram selepas mengambil keputusan untuk memberikan fokus kepada pengajiannya di universiti sebelum ini.

"Sekarang ini, kenyataannya memang kerjaya muzik saya dah agak perlahan selepas saya sambung belajar, tapi saya sentiasa percaya akan ada rezeki untuk saya dalam bidang ini.

"Saya tidak berasa kecewa dengan jalan yang saya pilih sebelum ini untuk berehat seketika. Bahkan, saya rasa lega lepas dapat tunaikan amanat arwah ibu untuk saya utamakan pelajaran.

"Bukan sekadar saya nak habiskan ijazah sahaja, tapi ia lebih kepada nilai sentimental yang ada untuk tunaikan hajat ibu bapa nak tengok saya berjaya dalam akademik," katanya kepada Astro Gempak.

Nana merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembinaan Kelas Pertama dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Jelasnya lagi, dia kini mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya muziknya semula.

"Asalkan saya sudah habiskan ijazah, jadi selepas ini, saya boleh terus fokus dengan dunia nyanyian semula.

"Jadi, sekarang ini, saya terbuka untuk menerima mana-mana peluang yang datang. Cuma, saya bersyukur masih ada lagi yang ingat saya.

"Saya juga tidak kisah sekiranya perlu bermula semula dari bawah semula seperti mula-mula dulu," katanya yang kini muncul dengan single terbaharu berjudul Ragu-Ragu.



Menurut Nana, lagu tersebut merupakan buah tangan baharu yang diterbitkannya ketika pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Muzik video lagu tersebut sudah mencecah lebih 1 juta tontonan di YouTube.

"Lagu itu saya rakam di Indonesia pada tahun lepas. Bahkan lagu itu juga ditulis oleh komposer, Nadya Fatira yang juga dari sana.

"Insya-Allah kalau ada rezeki memang saya nak tembusi pasaran di Indonesia," katanya.