Animasi Upin & Ipin terus menjadi bualan hangat di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Terbaharu, watak Kak Ros dalam animasi tersebut dijadikan memes oleh netizen yang tidak bertanggungjawab dipercayai dari Indonesia.

Dalam memes terbabit, dialog yang memaparkan watak Kak Ros disunting bersama foto memaparkan alat mainan seks.

Mengulas mengenai perbuatan tidak bermoral dengan menjadikan watak Kak Ros sebagai bahan jenaka, pakar motivasi dan Youtuber terkenal, Akhi Fairuz Al-Jengkawi tampil mengulas.

"Jenis tak makan saman! Yang dah sedar tu Alhamdulillah.

"Kenapalah depa ni dok kalut sangat buat memes lucah utk watak animasi Upin Ipin ni," ujarnya menerusi ciapan di Twitter baru-baru ini.

Selain memes berkenaan, sepotong video ulasan Akhi Fairuz di YouTube mengenai tindakan netizen Indonesia melucahkan animasi Upin & Ipin turut mengundang perbalahan.

"Berbakul-bakul makian saya kena. Video pasa ini di YouTube pun saya dah tutup komen," tambahnya.

Bagaimanapun, Akhi Fairuz tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pengguna media sosial negara jiran atas tindakan memalukan itu.



"Segelintir sahaja begini. Rakyat Indonesia yang tak suka (gila seks) lebih ramai.

"Mohon rakan-rakan tidak kecam negara ya. Sebab itu dalam video di YouTube saya mengajak rakan-rakan di Indonesia untuk melaporan kandungan luah begini di IG mahupun YouTube," katanya.


Malah, ada yang menggesa pihak penerbitan Upin & Ipin, Les Copaque untuk lebih tegas terhadap tindakan tidak bermoral ini.