YouTuber memasak popular, S. Pavithra telah disenaraikan sebagai individu pertama di antara 100 ikon Anak Bandar Raya Ipoh oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Anak kelahiran Buntong berusia 28 tahun itu menerima pengiktirafan tersebut selepas kejayaannya membina kerjaya menerusi bakat memasak sehingga mendapat lebih 770,000 pengikut di YouTube.

Memetik laporan Sinar Harian, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pengiktirafan itu diberi kepada anak kelahiran Ipoh yang berjaya menempa nama di peringkat negara dan antarabangsa.



“Kita ikhlas memberi penghargaan kepada anak jati Ipoh yang berjaya menerusi pelbagai bidang antaranya usahawan, seni dan pendidikan yang telah mengharumkan daerah ini.

“Kita telah mengenal pasti 10 individu setakat ini. Kita akan terus mencari bermula tahun ini,” katanya ketika sidang akhbar di MBI.

Tambahnya, MBI menyasarkan untuk menghimpunkan 100 nama yang telah berjaya untuk dibukukan.

Bagi Pavithra, dia merakamkan penghargaan kepada MBI yang memilihnya untuk menerima pengiktirafan sebagai Ikon Anak Bandar Raya Ipoh.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada saya dan suami selama ini," katanya kepada Astro Awani.

Pengiktirafan ini akan diberikan bersempena sambutan Hari Bandaraya ke-33 yang dijangka berlangsung 27 Mei depan.