Pelakon Sweet Qismina, 23, mengakui menyimpan hasrat untuk membawa hubungan percintaan bersama aktor Adam Lee, 26, ke jinjang pelamin.

Walau bagaimanapun, dia dan Adam belum lagi membuat sebarang perancangan untuk menamatkan zaman bujang.

"Niat untuk berkahwin dengan Adam itu sudah tentu ada.

"Tapi kami belum ada sebarang perancangan apa-apa lagi seperti tarikh, tema, tunang dan semua berkaitan tu belum ada lagi," katanya kepada Gempak.

Sweet memberitahu perkara itu ketika sesi Pink Smile bersama media yang turut disertai barisan pelakon utama iaitu Fattah Amin dan pengarah drama tersebut, Ayie Mustafa.

Dalam pada itu, pemilik nama Farhanna Qismina menyatakan sekiranya ada berita gembira dia akan kongsikan di platform media sosialnya.

"Kalau ada apa-apa berita berkenaan perkara itu, mesti saya akan berkongsi di laman sosial. Mungkin akan ada gambar cincin ke atau apa-apa yang berkaitan.

"Apa-apa pun, tunggu saja ya. Doakan yang baik-baik untuk saya dan Adam," katanya lagi.

Pada tahun lalu, Sweet dan Adam mendedahkan mereka sebagai pasangan kekasih selepas dihidu peminat kerana kerap memuat naik foto bersama di Instagram (IG).

BACA:"Niat Ikhlas, Kami Tak Kemaruk Sangat Dengan Percintaan" - Adam Lee Komen Hubungan Dengan Sweet Qismina

Terbaru, Sweet bakal muncul dalam drama Pink Smile yang bakal ditayangkan mulai 31 Julai ini bersama Fattah, Intan Najuwa, Izzat Mushtaq, Afifah Nasir dan ramai lagi.