Produksi Ada Apa Dengan Dosa (AADD) gembira dan menarik nafas lega apabila filem bergenre Islamik itu bakal ditayangkan di pawagam pada 10 September ini.

Jelas pengarahnya, Rahila Ali, pihaknya bersyukur filem itu mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Skim Wajib Tayang baru-baru ini untuk menemui khalayak penonton lebih ramai di pawagam.

"Alhamdulillah, filem ini bakal memasuki pawagam tidak lama lagi. Bagi yang tidak sempat melanggan Astro First, bolehlah menontonnya nanti di skrin yang lebih besar," katanya kepada Gempak.

Ada Apa Dengan Dosa mengisahkan kehidupan seorang gadis yang dibesarkan dalam keluarga freethinker bernama Aurora (Wanna Ali) yang mendapat tahu identiti sebenarnya dari keluarga beragama Islam.

Lebih mengejutkan apabila Aurora adalah seorang anak luar nikah hasil daripada keterlanjuran perbuatan seorang pendakwah dan ibu kandungnya.

Kesannya, Aurora hampir membunuh diri namun kehidupannya berubah selepas bertemu dengan Khaliq (PU Riz).

Filem yang diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records itu dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

Ada Apa Dengan Dosa telah mula ditayangkan di saluran Astro First (480) sejak 4 Jun.