Suami kepada YouTuber masakan terkenal, S. Pavithra yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada Selasa lalu.

Tertuduh, M. Sugu, 29 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir, lapor portal Astro Awani.

Menurut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukur 66 sentimeter (26 inci) bertulis 'Tiger' di parkir HRPB kira-kira jam 6 petang, 21 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

BACA: Didakwa Cederakan Isteri, Suami YouTuber Masakan Terkenal Direman 3 Hari?

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta disebat.



Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan, namun peguam Mahinderjit Singh memohon jaminan kerana ia merupakan kes keganasan rumah tangga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Isterinya, S. Pavithra, 28, yang turut berada di mahkamah, bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan.

BACA: “Kuatkan Semangat Pavithra” - Ruang Komen YouTube Sugu Pavithra Dipenuhi Dengan Kata-Kata...


Sumber: Astro Awani