Youtuber masakan popular, S. Pavithra memberitahu bahawa dirinya sudah memaafkan segala kekhilafan perbuatan suaminya M. Sugu terhadap dirinya.

Menurut Pavithra, 28, dia kini hanya mahu memberikan fokus kepada penghasilan video masakan di YouTube bersama suami seperti biasa.

"Apa yang terjadi semuanya berkaitan masalah keluarga dan saya sudah maafkan suami atas apa yang berlaku.

"Saya dan suami akan teruskan kehidupan seperti biasa dan kami akan kembali bersama meneruskan rancangan masakan di YouTube pada bila-bila masa sahaja," katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Pavithtra berkata demikian ketika ditemui selepas menjelaskan bayaran jaminan RM10,000 yang dikenakan ke atas suaminya di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.



Terdahulu, suaminya, M. Sugu, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit di tempat awam.

BACA: Sugu Mengaku Tidak Bersalah, Youtuber Popular Pavithra Enggan Ulas

Dalam pada itu, Pavithra turut memohon agar orang ramai dapat terus memberikan sokongan kepada video-video masakannya di saluran YouTube 'Sugu Pavithra'.

Katanya lagi, dia juga menerima segala bentuk komen di media sosial berhubung konflik yang tercetus dengan hati yang terbuka.

"Saya harap tiada yang salah faham dan saya sendiri pun tidak ambil hati atas apa juga komen diberikan netizen di media sosial. Teruslah beri sokongan kepada kami," katanya.

Sementara itu, usaha Astro Gempak untuk mendapatkan sendiri respons daripada Pavithra gagal apabila wanita yang menerima pengiktirafan ikon Anak Bandaraya Ipoh itu tidak menjawab sebarang panggilan telefon dan kiriman mesej.

BACA: Ikon Anak Bandaraya Ipoh Hanya Untuk S. Pavithra Sahaja, Bukan Sugu Pavithra


Sumber: Sinar Harian