Pelakon Badrul Muhayat akui tidak serik untuk berkahwin lagi selepas dua kali rumah tangga yang dibinanya musnah.

Kata Badrul, 52, dia masih mencari calon isteri dan yakin Allah telah mengaturkan jodoh terbaik untuknya.

"Sepanjang dua kali perkahwinan saya, syukur saya dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia 13 dan 11 tahun.

"Ya, saya berkahwin pun agak berumur tapi perkahwinan pertama saya tak bertahan lama yang akhirnya bercerai.

"Kemudian saya berkahwin lagi sekali namun bercerai beberapa tahun kemudiannya.

"Jadi, status saya sekarang solo. Mencari itu mencarilah dan saya yakin pada Allah yang jodoh akan datang dengan doa yang terbaik," katanya kepada Gempak.

Badrul yang ditemui pada majlis pelancaran Awesome TV di Hotel Ritz-Carlton Kuala Lumpur memberitahu kedua-dua anaknya kini dalam jagaan bekas isteri di Ipoh, Perak.

Badrul bakal muncul sebagai artis jemputan untuk rancangan bual bicara yang akan disiarkan dalam saluran Awesome TV.

Program tersebut akan berkongsi kisah kehidupan sebelum dan sesudah bergelar artis.

Selain itu, Badrul kini sedang sibuk mempromosikan produk terbaharunya, pelitup muka Vken yang punyai kelebihan untuk melancarkan pengaliran darah bahagian muka, mewangikan bau mulut dan membunuh bakteria.