Pelakon Izreen Azminda mengakui terpaksa menolak banyak tawaran berlakon yang diterimanya selama ini kerana terikat dengan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

Menurut Izreen, buat masa ini, dia terpaksa melupakan hasratnya untuk terlibat dengan mana-mana drama bersiri yang memerlukan komitmen yang lama.

"Saya dah mula kembali berlakon sejak awal tahun hari itu selepas lama senyap sejak kontroversi dulu. Cuma, sekarang ini saya tak boleh nak terima tawaran drama bersiri.

"Tawaran ada, tapi saya terpaksa tolak. Kalau setakat telefilem saya boleh buat. Suami saya tak benarkan sebab tak ada siapa nak jaga anak kalau buat drama berepisod lama-lama," katanya kepada Gempak.

Menurut Izreen lagi dia juga lebih selesa untuk menjaga anaknya sendiri di rumah daripada mengupah orang luar.

"Tak ada orang yang saya boleh percaya untuk jaga anak saya lagi. Lagipun mak saya pun dah tua, jadi tak kan nak minta tolongnya jagakan anak saya.

"Saya kena cari yang betul-betul sesuai," katanya.

Begitupun, kata Izreen dia mengakui rindu untuk kembali giat berlakon semula seperti dulu.

"Tipulah kalau kata tak rindu. Cuma, itulah, mungkin kena tunggu anak dah besar sikit.

"Masa tu mungkin saya dah jadi watak mak kepada heroin," selorohnya.

Izreen mendirikan rumah tangga dengan pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude pada 8 Ogos 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Aaron Ibrahim yang kini berusia setahun.

Bagaimanapun, perkahwinan tersebut menimbulkan kontroversi berikutan Ude ketika itu berstatus suami orang.

Terdahulu, Izreen pernah berkahwin dengan Muhammad Riza pada 2012 sebelum berpisah pada 2014.

Menerusi perkahwinan pertamanya, Izreen dikurniakan seorang anak Muhammad Adrian Umar, 5.

Saksikan drama lakonan Izreen Azminda di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!