Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan orang ramai yang disaman kerana tidak memakai pelitup ketika menaiki kenderaan persendirian boleh menuntut semula wang mereka dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perkara tersebut diumumkan Ismail Sabri ketika sidang media harian pada petang Isnin.

Menurut Ismail Sabri, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membatalkan saman-saman yang telah dikeluarkan.

"Semalam, ada yang disaman kerana dalam kenderaan persendirian (tidak memakai pelitup muka).

"Saya dah bincang dengan pihak polis, mereka akan batalkan saman tersebut. Kalau dah bayar, boleh tuntut semula dengan Kementerian Kesihatan," katanya.

Bermula 1 Ogos, kerajaan mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan tumpuan ramai dan kenderaan awam.

Bagaimanapun sejak semalam tular beberapa individu yang menyatakan rasa tidak puas hati disaman kerana tidak memakai pelitup muka ketika menaiki kenderaan persendirian.

Ada juga yang disaman ketika sedang berkelah di tepi pantai bersama keluarga.

Dalam pada itu, Ismail menyatakan keyakinannya terhadap polis untuk menggunakan budi bicara mereka dalam mengeluarkan saman berhubung perkara itu.

Hari ini menerusi sidang media, Ismail Sabri turut mengingatkan sekali lagi tentang penggunaan pelitup muka wajib dipakai di tempat tumpuan dan kenderaan awam seperti pasar raya, pasar basah, tempat rekreasi, menaiki e-hailing, bas, LRT, kapal terbang dan lain-lain.