Pelakon Nelydia Senrose akui bimbang sekiranya kes pandemik Covid-19 kembali meningkat dan serius seperti sebelum ini.

Nelydia berkata, sekiranya negara kembali menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai pihak akan terjejas.

“Macam sebelum ini, kita semua dah lalui PKP dan ramai pihak terjejas. Ada yang hilang kerja dan pendapatan kalau boleh tak mahu lagi ia berlaku, nanti tak boleh kerja,” katanya.

Pelakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu juga memohon agar orang ramai terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Kita boleh elak Covid-19 daripada terus merebak jika patuh kepada SOP kerajaan. Macam saya sendiri selepas pulang daripada shooting di Brazil bersama Havaianas, saya terus kuarantin diri sendiri.

“Saya ambil langkah berjaga-jaga biarpun ketika itu negara belum menjalankan PKP. Cuma kesedaran dalam diri sendiri perlu ada.

“Saya juga menolak untuk kembali ke set dalam tempoh tersebut kerana berwaspada, tidak mahu menjadi sebab sekiranya dijangkiti,” katanya yang pulang ke tanah air empat hari sebelum dilaksanakan.

Nelydia ditemui ketika dilantik sebagai duta selipar jenama Havaianas dari Brazil bersama pelakon Fatin Afeefa.

Nelydia berkata dia bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh pihak Havaianas untuk menjadi duta mereka walaupun dipalit kontroversi bersama sebuah produk lain.

“Alhamdulillah, mereka beri kepercayaan kepada saya. Saya kalau boleh tak mahu kontroversi tersebut berpanjangan kerana ia boleh menjejaskan periuk nasi saya.

“Bila keluar cerita tentang saya langgar kontrak mesti orang lain juga akan sangsi terhadap saya. Macam-macam persepsi akan timbul.

“Apapun perkara tersebut saya jadikan pengajaran dan iktibar untuk menjadi seorang yang lebih matang pada masa depan," katanya.