Pelakon Dayana Roza selamat mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan dalam satu majlis yang diadakan di Damai Glass House, Kuala Lumpur hari ini.

Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Bahari, 29, memilih A'dale Adham Ayahudin, 33, sebagai bakal pasangan hidupnya.

Pasangan itu bakal mengikat tali pertunangan selama empat bulan sebelum merancang untuk bernikah pada pertengahan Disember depan.

Menurut Dayana, tunangnya itu pernah cuba mengajaknya untuk mendirikan rumah tangga kira-kira empat tahun lalu.

“Kami dah berkawan enam tahun. Dia ini memang kawan gaduh saya. Sebenarnya, dia pernah ajak kahwin empat tahun lepas.

“Tapi saya tolak sebab dia jenis suka menyakat sehinggalah dia mendekati saya penghujung tahun lepas semula selepas tahu saya sudah kembali solo,” katanya ketika ditemui Astro Gempak pada majlis pertunangannya itu.

Bagaimanapun, menurut Dayana dia kemudian terbuka hati untuk menerima A’dale selepas melihat kesungguhannya itu.

“Kawan baik saya sendiri kata, mana ada lelaki yang sanggup tunggu bertahun macam dia. Fikir-fikir balik betul juga

“Dia pun pandai sebab ambil hati ibu saya dulu. Lepas dua bulan kami serius terus dia ajak kahwin.

“Itulah, siapa sangka orang yang kita kata tak nak itulah akhirnya duduk di sebelah saya hari ini,” ceritanya.

Majlis pertunangan tersebut hanya dihadiri oleh saudara dan rakan terdekat sahaja.

Lebih istimewa, katanya majlis tersebut diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran tunangnya yang ke-33 hari ini.

Pada majlis tersebut, Dayana memberikan lima dulang hantaran yang dibalas tiga oleh pihak lelaki.

Terdahulu, Dayana mengakui sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang jejaka sejak awal tahun ini.

Ahli perniagaan itu merupakan kenalannya yang sudah dikenalinya sejak enam tahun lalu.

BACA: Dayana Roza Bakal Bertunang Dengan Ahli Perniagaan

Bagaimanapun, bibit percintaan mereka mula berputik pada awal tahun sebelum Dayana mula memuat naik gambar dirinya bersama jejaka itu pada bulan lalu.

Saksikan drama lakonan Dayana Roza di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!