Penerbit Pencil Pictures & Records, Datuk Ayu Puteh bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap laman e-dagang yang menjual filem terbitannya, Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dengan harga murah.

Menurut Ayu atau nama sebenarnya, Normashayu Puteh, 43, pihaknya telah mengumpulkan segala bukti yang berkaitan bagi memulakan tindakan undang-undang terbabit.

"Laporan polis sudah pun saya buat dan seterusnya, saya nak saman platform e-dagang terbabit RM50 juta!

"Penjualan filem saya di laman e-dagang terbabit sebenarnya sudah berlanjutan dua bulan... Bila benda ni kecoh, tahu pula mereka turunkan iklan dan filem saya!

"Segala bukti berada di tangan saya. Saya juga telah berbincang dengan pihak peguam mengenai perkara ini. Saya dah cari semua bukti dan baru saya mahu membuka kes. Semuanya cukup untuk saya bawa kes ini ke mahkamah.

"Siapa yang gembira bila hasil usaha dan titik peluh sendiri telah dijual sebegitu rupa? Kerja keras saya jadi mangsa cetak rompak dan paling memalukan, dijual dengan harga serendah RM1 sahaja!" kata Ayu ketika dihubungi Gempak.



Sebelum ini, Gempak melaporkan yang Ayu rasa terhina apabila filem AADD yang dibintangi oleh Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sanda dan PU Riz dijual dengan harga RM1 di sebuah platform e-dagang.

BACA: "Naik Darah Saya!" - Filem Dijual Dengan Harga RM1 Di Platform E-Dagang, Penerbit 'Ada Apa Dengan Dosa' Rasa Terhina!

Dalam pada itu, Ayu juga telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya petang semalam.

"Saya ke sana untuk mengetahui tindakan susulan bagi aduan berkenaan cetak rompak yang saya sudah laporkan.

"Saya buat begini kerana mahu mempertahankan hak saya. Filem saya masih disiarkan di Astro First. Apa salahnya jika menontonnya di sana?

"Kalau nak saksikan ia dengan format lebih berkualiti, filem ini juga bakal bersiaran di panggung wayang bermula 10 September ini. Apa salahnya jika menunggu?

BACA: Bestnya! Ada Apa Dengan Dosa Masuk Pawagam September Ini

"Saya tak mahu karyawan seperti saya dipijak dan diperlakukan sebegini. Filem terbaru saya, Autumn in Wales #MenantuMakAwak juga bakal ditayangkan di pawagam pada Disember ini.

"Jika saya tak mulakan tindakan sebegini, pastinya filem-filem saya yang lain akan menjadi mangsa di masa akan datang. Biarlah saya mempertahankan hak saya agar menjadi pengajaran kepada semua," katanya lagi.

Kelmarin, isu kegiatan penjualan filem-filem tempatan seperti AADD dan Keluarga Iskandar The Movie yang dicetak rompak di platform e-dagang hebat diperkatakan.

BACA: FINAS Kecewa Platform E-Dagang Jual Filem Cetak Rompak, 'Keluarga Iskandar' Antara Mangsanya

BACA: Laman e-Dagang Jual Filem Cetak Rompak, KPDNHEP Boleh Arahkan Kandungan Diturunkan

BACA: MCMC Akan Sekat Platform E-Dagang Jual Produk Cetak Rompak


Kontroversi ini turut mendapat perhatian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).