Ibu kepada penyanyi yang popular dengan lagu Jesnita, Ezad Lazim menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Ezad ketika dihubungi Gempak berkata dia dan isteri serta anak-anak sedang dalam perjalanan pulang ke Alor Setar, Kedah.

Menurut Ezad dia menerima khabar duka tersebut selepas solat Subuh apabila dihubungi kakaknya.

“Selepas selesai solat Subuh pagi tadi, saya dapat panggilan telefon daripada Kak Long beritahu Mak dah tak ada.

“Kak Long beritahu Mak jatuh dalam bilik air dan kemudiannya terus tidak sedarkan diri. Dan selepas diperiksa, Mak sudah pergi meninggalkan kami,” katanya.

Tambah Ezad, Allahyarham ibunya menghidap penyakit darah tinggi.

Tambah Ezad, kali terakhir dia bertemu ibu ialah beberapa selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Mak datang rumah kami, katanya mahu melawat rumah baru kami,” katanya sebak.

Dalam pada itu, Ezad mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan peminat yang menitipkan ucapan takziah.

“Terima kasih kepada yang mendoakan dan menghantar ucapan takziah. Doakan perjalanan kami. Allahyarham akan dikebumikan sebaik sahaja kami tiba di Alor Setar,” katanya.

Ezad turut berkongsi berita sedih tersebut di laman sosial Facebooknya.

“7/8/2020…Ya Allah kemarin (semalam) setahun Abah pi tinggai kami..Hari ni Mak kesayangan ikut jejak, Al-Fatihah,” tulisnya.

Menerusi ruangan komen, teman-teman dan pengikut di laman sosial mengucapkan takziah disamping mendoakan perjalanan Ezad dan keluarga pulang ke Kedah dipermudahkan.

Tahun lalu bapa Ezad, Mohd Lazim Ismail, meninggal dunia akibat jangkitan kuman di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada 6 Ogos.