Bintang Big Stage 2020 Nana Sheme tidak meletakkan dirinya sebagai ‘otai’ dalam kalangan 12 peserta program realiti itu biar pun dirinya paling banyak pengalaman.

Menurut Nana, dia pernah menyepi selama dua tahun dalam industri hiburan dan kini muncul kembali menyertai Big Stage 2020 sebagai peluang keemasan.

“Sejujurnya, saya tak rasa diri saya dikenali sebab kita kena terima kenyataan lagu Hantu Atau Buaya tu lebih popular daripada penyanyinya sendiri.

“Big Stage ini dikira sebagai peluang kedua untuk saya melakar nama dalam industri.

“Saya juga bersedia untuk menerima apa sahaja komen dan kecaman netizen kerana sudah tujuh tahun berkecimpung dalam dunia seni ,” jelas Nana kepada Gempak.

Nana ditemui ketika majlis sedang media pengenalan 12 peserta dan barisan juri Big Stage 2020 yang bertempat di The Starling, Damansara pada Selasa.

Tambah Nana lagi, fasa populariti yang diraih menerusi lagu Hantu Atau Buaya berlalu dengan begitu cepat dan dia tidak sempat mempelajari banyak perkara.

“Saya di Big Stage bukanlah untuk bersaing tetapi lebih kepada nak lengkapkan industri ni dengan pelbagai jenis penyanyi dan penghibur,” ujarnya lagi.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Untuk musim kali ini, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Ajai dilantik sebagai juri tetap manakala tiga selebriti Neelofa, Michael Ang dan Caprice menjadi Presiden Netizen.

Bigstage 2020 akan memulakan konsert pertamanya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).