Penyanyi dan peserta Big Stage 2020, Sandra Dianne mahu mencipta kelainan menerusi penyertaannya dalam program tersebut.

Menurut Sandra, dia berhasrat untuk menjenamakan semula (rebrand) namanya dalam industri hiburan dan tampil dengan cara yang berbeza.

"Harapan saya menerusi penyertaan dalam Big Stage 2020 ini adalah untuk menjenamakan semula nama saya dalam industri hiburan.

"Saya mahu jadi Sandra yang baru untuk tahun 2020 ini, penonton akan menyaksikan sisi diri saya yang berbeza dalam program ini," katanya kepada Gempak.

Bercakap mengenai namanya yang kurang mendapat perhatian, Sandra akui kurang pandai untuk menyerlahkan diri dan malu berinteraksi bersama peminat sebelum ini.

"Saya mula menyanyi pada usia 20 tahun, saya akui sejak lima tahun lalu, agak sukar untuk saya menggapai populariti.

"Mungkin sebelum ini saya kurang pandai menyerlahkan diri dan ada rasa malu untuk bertinteraksi bersama peminat, sekarang, saya akan perbaiki semua itu dan lakukan yang terbaik," katanya lagi.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Big Stage 2020 akan memulakan konsert pertamanya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad ini, 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!

BACA : [SENARAI PENUH]: Usop, Anak Jamal Abdillah Dan Doktor Gigi Viral Antara 12 Peserta Big Stage 2020