Usahawan selebriti, Noor Nabila Mohd Noor, 35, mengakui dia tidak serik untuk mendirikan rumah tangga lagi biarpun pernah melalui episod perceraian.

Bekas isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad ini juga percaya dengan rezeki dan ketetapan jodoh.

"Saya tak serik nak berkahwin lagu selepas ini. Saya percaya dengan ketetapan rezeki, kalau ada jodoh, pastinya saya mahu berkahwin lagi. Saya juga mahu menambah bilangan cahaya mata.

"Tapi, buat masa sekarang, saya lebih selesa memberikan tumpuan kepada diri sendiri dan mahu membesarkan anak, Jebat Jayden dengan penuh kasih sayang.

"Kalau ada sesiapa mahu dekat pun, mungkin ambil masa untuk saling mengenali," kata Nabila kepada Gempak.

BACA: Kembali Berjodoh Dengan Sharnaaz Ahmad? Ini Respon Noor Nabila

Mengekalkan hubungan baik dengan Sharnaaz, kakak kepada pengacara popular Neelofa ini juga tidak menghalang bekas suaminya itu untuk bertemu dengan anak.

"Saya memberikan kerjasama bagi memudahkan proses pertemuan bapa dan anak. Bagi saya, Sharnaaz seorang bapa yang bagus kerana dia tak mengabaikan tugasnya.

"Hari-hari Sharnaaz meluangkan masa melihat dan bermain dengan anak, dia sangat komited serta berdedikasi. Saya pun tak kisah dia nak berjumpa dengan anak pada bila-bila masa memandangkan jadual kerjanya sebagai pelakon tidak menentu.

"Apa yang penting adalah anak, dia merupakan fokus utama kami. Saya sendiri tak mahu anak rasa kurang kasih sayang daripada kedua belah pihak," kata Nabila lagi.

Nabila dan Sharnaaz sah bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang bakal menginjak usia dua tahun Ogos ini.