Sebuah festival seni virtual Gerak Angin akan dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi meraikan persembahan tradisional dan seni kebudayaan menerusi platform moden.

Festival Gerak Angin akan menampilkan 205 individu kreatif daripada 17 produksi kebudayaan di Malaysia untuk mempersembahkan bakat mereka.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Syukri, pihak kementerian teruja dan berbangga untuk membawakan sebuah festival seni secara maya.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya seni kebudayaan. Jadi, Gerak Angin mewakili penggerak kebudayaan dan artistik negara yang akan diraikan untuk membuka mata serta menaikkan semangat rakyat Malaysia ,” jelas beliau.

Nancy ditemui ketika majlis pelancaran Gerak Angin di Studio Ramli Hassan, Kuala Lumpur pada Selasa.

Setiap persembahan meliputi muzik, tarian dan teater akan mengambil masa selama 10 hingga 15 minit.

Turut sama dalam menjayakan festival ini adalah Masakini Theatre Company, Sutra Foundation dan Surprise Ventures.

Festival seni secara virtual ini akan bermula pada hari Malaysia, 16 September sehingga 2 Oktober 2020 di laman web, YouTube, serta Facebook Gerak Angin.