Siapa sangka, sehelai tudung mampu mencecah nilai RM100,000 hampir menyamai harga sebiji kereta buatan luar negara?

Ya, tudung milik pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri itu berjaya melakarkan sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai tudung termahal di dunia!

Kata Haliza, ketika menerima pemberian daripada pengeluar batu kristal tersohor dunia, Swarovski, dia hanya mampu menangis dan terkedu.

"Saya menangis tak terkata ketika mendapat hadiah yang sangat luar biasa ini. Terlalu gembira...

"Tidak sangka sama sekali hajat saya untuk melihat kilauan batu kristal Swarovski direalisasikan pada sehelai tudung," katanya kepada Gempak.



Pemberian Swarovski kepada Haliza sebagai tanda penghargaan kerana menjadi pemborong batu kristal terbesar dunia.

Tudung bawal berwarna hitam itu ditaburi 7,512 butir batu kristal Swarovski pelbagai warna dan bentuk.

Jelas Haliza lagi, tudung berdiameter 1.14 meter itu mengambil masa selama 320 jam (13 hari) untuk disiapkan oleh 12 tenanga pekerja di Austria.

Sementara itu, menurut pengurus jualan Swarovski Malaysia, Teo Zi Wei, tudung itu menjadi projek paling lama pernah disiapkan syarikat terbabit.

"Proses menyiapkan tudung ini mengambil masa yang lama kerana ia perlu dilakukan dengan teliti dan mengambil kira posisi tudung apabila dipakai.

"Tambah pula ia dihasilkan oleh pekerja di Austria yang tidak biasa dengan tudung bawal," katanya.

Haliza memberitahu tudung terbabit tidak akan dijual kepada mana-mana pihak dan akan dipamerkan di butik Bawal Exclusive yang akan siap pada 1 September depan.