Selepas lagu Cute mencipta fenomena, Harith Zazman bersama kumpulan MFMF., dan rapper LOCA B, mengundang Nabila Razali untuk berkolaborasi menghasilkan versi remix yang diberi judul ‘Cute: Nabila Razali Remix’.

Sekiranya lagu ‘Cute: Stop Lah Being So Cute’ dinyanyikan daripada perspektif lelaki, kali ini ‘Cute: Nabila Razali Remix’ diberikan nafas baharu apabila lirik diolah semula menggambarkan subjek dilamun cinta dari perspektif wanita.

Keistimewaan lagu ini bukan sahaja pada kemunculan Nabila Razali yang menambah lagi seri lagu ini tetapi fokus yang diberi kepada Nabila Razali dan LOCA B dalam menerajui lagu ini menjadikan lagu ini lebih bersifat feminin.

Baharu sahaja dilancarkan pada 14 Ogos yang lalu, video muzik rasmi “Cute: Nabila Razali Remix’ yang diarahkan oleh Harith Zazman sendiri berjaya menjana hampir 1 juta tontonan.

Mengulas tentang penglibatan Nabila dalam versi remix ini, Brendan Lim bagi pihak kumpulan MFMF. yang juga penerbit rakaman berkata, mereka berbesar hati penyanyi tersebut sudi terlibat dalam projek berkenaan.

“Kami amat berbesar hati kerana Nabila sudi terlibat dalam projek ini. Sebagai penyanyi dan juga pelakon yang berpengalaman, Nabila memberi nilai tambah kepada lagu ini.

“Bekerjasama dengan Nabila merupakan suatu pengalaman yang unik dan tidak dapat dilupakan,” katanya.

‘Cute: Nabila Razali Remix’ boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, JOOX, KKBox dan juga Deezer.

Manakala video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Harith Zazman.

Lagu ‘Cute: Stop Lah Being So Cute’ mula mencuri tumpuan selepas Harith membuat hantaran video di TikTok.

Berbekalkan melodi dan lirik yang ‘catchy’ serta nyanyian bersahaja Harith, hantaran klip video tersebut telah ditonton lebih 1.5 juta kali di aplikasi tersebut.

Malah klip lagu nyanyiannya itu turut digunakan oleh selebriti seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Nora Danish, Fattah Amin, Zulin Aziz, Alvin Chong dan Saharul Ridzwan sebagai muzik latar video TikTok.

Video rasmi lagu tersebut turut berada di kedudukan pertama carta trending di YouTube dan menjana lebih 2.3 juta tontonan dalam tempoh seminggu.

Sehingga kini, selepas hampir dua bulan berlalu muzik video ‘Cute: Stop Lah Being So Cute’ sudah mencapai lebih 7.5 juta tontonan.

Lagu ciptaan bersama Harith, MFMF. dan LOCA B ini diterbitkan oleh MFMF Productions dan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.