Penyanyi Ara Johari menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai artis yang mempunyai masalah sosial apabila dilabel sebagai kaki 'minum'.

Menurut Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 23, dia tidak pernah mengambil sebarang minuman keras sepanjang hidupnya seperti yang mula menjadi bualan umum.

"Saya berani bersumpah yang saya tak pernah minum, tak pernah sentuh sebarang minuman beralkohol atau mengambil dadah.

"Saya agak kecewa bila orang buat dakwaan begini. Hal ini sangat sensitif, tapi mulut orang kita tak boleh nak tutup. Apa yang penting, saya tahu yang saya tak sentuh dan ambil benda-benda tu semua," katanya kepada Astro Gempak.

Ara ditemui sewaktu sidang media kempen 'Malaysiaku, Kita Selamat Bersama' sempena sambutan Hari Kemerdekaan di TPC Kuala Lumpur.

Menurut Ara lagi, dia tidak tahu mengapa terdapat pihak yang sanggup membuat tuduhan tidak berasas sedemikian rupa terhadapnya.

"Saya tidak tahu mengapa orang tuduh saya kaki minum. Bahkan ada juga yang kata saya ambil ‘barang’ hanya kerana saya kurus. Walhal saya kurus sebab memang susah nak naik berat badan, bukan ambil dadah.

“Apapun, biarlah apa yang orang ingin kata, nanti bila mereka akan diam bila sudah penat nanti," jelasnya.

Begitupun, menurut Ara, dia mengakui berkawan dan bergaul dengan individu yang menjalani kehidupan sosial.

"Saya berkawan dengan semua orang. Saya memang ada kawan yang sosial, yang minum, tapi bagi saya kita yang kena pandai jaga diri. Kalau kawan minum, kenapa kita nak ikut.

"Tak apalah, janji orang sekeliling dan keluarga tahu saya macam mana pun dah cukup," katanya.

Sebelum ini, Ara pernah juga terpalit dengan dakwaan sebagai artis bermasalah apabila menarik diri daripada mengikuti sebuah program televisyen di saat-saat akhir sehingga menyukarkan pihak produksi.

BACA: “Bukan Buat Hal, Tapi Masalah Kesihatan” – Tarik Diri Saat Akhir, Ara Alami Semput Dan Tak Boleh Bernafas