Pelakon Lisa Surihani mengakui tempoh masa bekerja antara yang menjadi pertimbangan utamanya sebelum menerima satu-satu tawaran.

Ini kerana, menurut Lisa, dia perlu menyeimbangkan tanggungjawabnya, bukan sahaja sebagai seorang anak seni, sebaliknya, peranannya sebagai ibu dan isteri di rumah.

Justeru, atas sebab itu jugalah, kata Lisa, dia sering meletakkan komitmen bekerja tidak melebihi 12 jam kepada mana-mana produksi.

"Biasanya saya akan tanya boleh ke tidak yang kerja selama 12 jam tu, maksudnya dari call time, tempoh dalam 12 jam boleh ke tak.

"Saya akan bertanya dengan cara budi bicara, cara yang baik, sama ada boleh atau tidak.

"Sebab saya pun faham, ada pelakon lain yang okay untuk bekerja lebih dari 12 jam. Saya letakkan syarat begitu, supaya saya boleh bekerja pada masa sama jalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri," katanya kepada Astro Gempak.

Lisa ditemui sewaktu majlis sidang media kempen 'Malaysiaku, Kita Selamat Bersama' di TPC Kuala Lumpur baru-baru ini.



Menurut Lisa lagi, dari segi batasan pula, dia selalu berbincang dengan pihak produksi untuk mencari jalan terbaik dalam menterjemahkan sesuatu mesej bersesuaian dengan imej terbaharunya kini.

"Sebagai isteri, saya belum letakkan parameter-parameter tertentu. Bergantung kepada keadaan, setakat ini kalau boleh dielakkan (bersentuhan), kita akan fikirkan apa cara lain yang boleh beri mesej yang sama dalam bentuk lain.

"Kena berbincang dengan pengarah dan mencari penyelesaian bersama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lisa bakal muncul dalam telefilem berjudul Aku Posmen, Kau Latifah, Dia Joseph.

Naskhah istimewa itu akan ditayangkan di saluran Astro Ria pada 30 Ogos ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan.